Proses kimpalan berbeza menghasilkan beberapa kekurangan yang tidak
dikehendaki di cantuman kimpalan disebabkan perbezaan besar takat lebur antara
kepingan aluminium dan keluli tahan karat juga hampir tiada kebolehlarutan pepejal
antara dua logam ini. Aluminium AA6061 dan keluli tahan karat SUS304 dipateri
berlapik dengan menggunakan kimpalan Gas Besi Lengai dengan bahan pengisi
aluminium ER5356 dan bahan pengisi keluli tahan karat ER308LSi. Kesan voltan
kimpalan dan jenis logam pengisi kepada cantuman kimpalan telah dikaji. Voltan
kimpalan mempunyai kesan penting bagi proses kimpalan, kerana voltan tinggi
menyebabkan rupa luaran cantuman kimpalan buruk. Cantuman antara aluminium dan
keluli tahan karat menggunakan bahan pengisi aluminium mempunyai mikrostruktur
baik apabila ia menunjukkan banyak zarah silikon eutektik, sekaligus meningkatkan
kekuatan cantuman. Lapisan sebatian antara logam berlaku di antara kawasan yang
terjejas oleh kepanasan dan zon gabungan. Nilai kekerasan cantuman kimpalan berada
dalam julat 60 hingga 100 HV. Retakan dalam ujian tegangan berlaku di tepi cantuman
sebelum beralih ke cantuman kimpalan dengan kekuatan tegangan tertinggi 104.4 MPa.
Sementara itu, cantuman kimpalan keluli tahan karat dengan aluminium menggunakan
bahan pengisi keluli tahan karat mengandungi mendakan karbida dalam
mikrostrukturnya, yang tidak diingini dalam proses kimpalan. Jumlah zarah-zarah
kromium yang banyak menunjukkan terdapat tambahan unsur dalam cantuman
kimpalan sepanjang proses kimpalan. Nilai kekerasan cantuman kimpalan berada dalam
julat 180 hingga 230 HV dan kekuatan tegangan tertinggi ialah 61.76 MPa. Berdasarkan
kajian ini, ia dapat disimpulkan yang bahan pengisi aluminium ER5356 ialah bahan
pengisi terbaik dalam penggabungan aluminium AA6061 dan keluli tahan karat SUS
304.